Kenali Instinct

INSTINCT merupakan sebuah kumpulan nasyid yang baru bertapak dalam industri nasyid negara secara komersial pada awal tahun 2008, namun penglibatannya dalam seni suara sudah mencecah usia 5 tahun. INSTINCT ditubuhkan pada tahun 2004 hasil pertemuan dalam satu pertandingan nasyid interfakulti yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (pada ketika itu Kolej Universiti Islam Malaysia).
AHLI INSTINCT
INSTINCT diketuai oleh Saudara Farid atau nama penuhnya Md Faridhilmi Bin Muslimin. Anak Jati Batu Pahat, Johor ini merupakan graduan dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan sekarang mengajar di sekolah di JB.
Khairul Azizi Bin Elias berasal dari negeri Jelapang padi, merupakan graduan dari Universiti Sains Islam Malyaysia dalam bidang Syariah dan Kehakiman. Mesra dengan panggilan Gg, beliau baru sahaja menamatkan pengajian bagi Diploma Siswazah pengkhususan Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie di USIM. Bergelar seorang Usahawan Muda, kini beliau telah menubuhkan sebuah syarikat Percetakan di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Mahathir Bin Mazizan atau Madier, graduan dalam bidang Syariah dan Kehakiman dari Universiti Sains Islam Malaysia, merupakan anak watan negeri Johor yang kini bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) Melaka, setelah menamatkan pengajian beliau di peringkat Diploma Siswazah dalam pengkhususan Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie di USIM.
Mohd Ghazali Bin Abdul Manap atau lebih mesra dengan panggilan Zali. Berasal dari Batu Pahat, Johor, beliau merupakan graduan dari Universiti Sains Islam Malaysia dalam bidang Pengajian al-Quran dan Sunnah. Beliau juga memiliki Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan sekarang mengajar di sekolah di JB.
Mohd Nur Aqmal atau Aqmal, berasal dari Sepang Selangor, merupakan graduan dalam bidang Pelaburan dan Pentadbiran Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau kini merupakan seorang Eksekutif di Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Mohd Zarif Bin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Zarief, anak kelahiran Batu Gajah, Perak merupakan pelajar Tahun tiga di Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia dalam bidang Quran dan Multimedia .
“Salam Ukhuwwah Daripada INSTINCT”